Muzium Sultan Abu Bakar Bernafas Baru

Pekan, sebuah bandar tua yang mempunyai banyak kesan
sejarahnya. Bandar ini juga dikenali sebagai Bandar Diraja pernah
menjadi ibu negeri dan pusat pentadbiran negeri Pahang Darul Makmur.
Muzium Sultan Abu Bakar, merupakan sebuah bangunan lama yang mempunyai
sejarahnya yang tersendiri. Bangunan muzium ini pada asalnya merupakan
bangunan kayu dua tingkat yang dibina oleh Inggeris pada tahun 1888,
sebagai tempat kediaman Residen British Pertama di Pahang, J.P. Rodger.
Pada tahun 1898, ibu negeri Pahang dipindahkan dari Pekan ke Kuala Lipis
dan bangunan ini dijadikan tempat penginapan Residen-residen Inggeris
yang datang menjalankan tugas-tugas rasminya di bandar Pekan. Pada tahun
1929, bangunan kayu ini digantikan dengan bangunan batu dua tingkat
iaitu seperti yang terdapat sekarang ini. Ketika pendudukan Jepun di
Tanah Melayu bangunan ini digunakan sebagai markas pegawai-pegawai
tentera Jepun.
Dalam tahun 1948, bangunan ini
telah diduduki oleh DYMM Almarhum Sultan Abu Bakar sebagai menggantikan
Istana Sri Terentang. Bangunan ini kemudiannya dikenali sebagai Istana
Kota Beram yang menjadi tempat persemayaman baginda dan menjalankan
upacara-upacara yang lain. Pada tahun 1954, lantaran kedudukan
ruang-ruang di dalam istana yang agak terhad, kerajaan negeri telah
membina bangunan tambahan untuk dijadikan balai yang dikenali dengan
Balairung Seri.
Pada tahun 1970, YAB Perdana
Menteri Tun Haji Abdul Razak dalam pertemuannya ketika itu dengan
penduduk Pekan telah mengusulkan agar diwujudkan sebuah Muzium Pahang,
bertujuan untuk mengumpul dan mempamerkan sejarah dan kebudayaan negeri
Pahang. Lanjutan daripada itu pada tahun 1974, kerajaan negeri Pahang,
telah mengkaji keperluan menubuhkan Muzium ini, satu Jawatankuasa Kerja
telah dibentuk bagi mengubahsuai Istana Kota Beram kepada Muzium Negeri.
Muzium ini kemudiaanya dinamakan sebagai Muzium Sultan Abu Bakar
bersempena Istana yang pernah menjadi tempat persemayaman baginda.
Pada tahun 1975, satu Enakmen telah diluluskan oleh Majlis Perundangan
Negeri Pahang dan diwartakan oleh Kerajaan pada 14 Ogos 1975. Melalui
enakmen ini Kerajaan negeri Pahang telah menubuhkan satu badan
pentadbiran muzium yang dikenali sebagai Lembaga Muzium Negeri Pahang
yang bertanggungjawab terhadap pengurusan Muzium ini. Pada 21 Oktober
1976, DYMM Sultan Haji Ahmad Shah, Sultan Pahang telah berkenan
menyempurnakan pembukaan rasmi Muzium Sultan Abu Bakar. Semenjak
daripada itu Muzium ini terus giat mengumpul dan mempamerkan kesan dan
tinggalan sejarah serta kebudayaan tradisional negeri Pahang.
Muzium yang baru diubahsuai ini mengetengahkan konsep “Taman
Intelektual”, di mana ianya turut memperkenalkan penggunaan teknologi
moden seperti paparan skrin sentuh di dewan pamerannya.

Kurasi artifak dan bahan pameran muzium ini telah menerima sentuhan
istimewa dari para profesional yang merupakan pakar dalam bidang
masing-masing, antaranya, YM Raja Shariman Raja Aziddin, YM Raja Azhar
Raja Idris, Dato’ Bernard Chandran, Datin Sharifah Kirana, Ramli
Ibrahim, Profesor Emeritus Dato’ Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman
dan Profesor Emeritus Dato’ Dr Hood Salleh.  


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *